Gambar Kenangan ketika Almarhum Tuan Guru Menyampaikan Ucaptama |
وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًايَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ الله لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga (Riwayat Muslim, Sahih)
Syaikh Muhammad bin Shalih bin Ishaq hafidzahullah berkata,”Di antara sebab yang membantu kita untuk tetap bersemangat menuntut ilmu adalah mengadakan perjalanan dari negerinya ke negeri yang lain dengan maksud untuk bertemu dengan para ulama Rabbani, mengambil ilmu langsung dari mereka, duduk dengan meraka dan mengambil faidah dari mereka.
Menempuh perjalanan yang tidaklah jauh, cuma sekadar melepasi syarat untuk seseorang itu boleh menjamak qasarkan solatnya. Itulah jarak perjalanan aku bagi mencari sesuatu yang aku sendiri tidak menyangka.Telah aku katakan di dalam part 1, di mana aku ini bukan pelajar lepasan Darussyfa' Bangi.
Habis tu, belajar di mana? Ada lagi ke Darussyifa' selain di Bangi? Pasti ada yang bertanya seperti itu. Dan , ada juga yang tanya, "kalau di tempat lain bukan Ustaz Haron Din la yang mengajar kan?"
Baiklah, hadith di atas sangat menarik tentang perjalanan menuntut ilmu, namun percayalah, ketika aku menuntut ilmu Darussyifa' , aku sendiri tidak tahu akan kewujudan hadith tersebut.
Pada tahun 2011 segalanya bermula. Bulan Januari hadir temuduga, mendaftarkan diri pada Jun berikutnya. Negeri Melaka Allah s.w.t takdirkan aku untuk bertemu empat mata dengan Tuan Guru Dato' Dr Haron Din. Ia bagai mimpi, kerana aku tidak pernah berjumpa dengannya secara live! Keterujaan memuncak sangat ketika itu.
Pada hari itu, aku duduk di barisan yang paling depan. Aku tidak tahu hari itu, dan detik itu bakal merubah segalanya dalam hidup aku. Sungguh, pada mulanya aku fikir, belajar Darussyifa' ni biasa-biasa saja. Habis belajar, balik la jawabnya. Namun segalanya berubah ,apabila satu suara yang agak uzur beserta langkah yang gagah oleh satu susuk tubuh yang pada aku, " ini bukan orang biasa-biasa, siapa terlihat pasti akan kaku hormat".
Ungkapan suara itu adalah , "Assalamualaikum".
Pendek sahaja. Tapi ia keluar dari susuk tubuh yang mewaqafkan hidupnya untuk Allah s.w.t.
Ucapan salam itu perlahan sahaja. Boleh jadi, yang mendengar sekitar yang berada di hadapan pintu. Namun kesannya salam yang diberi ketika itu, terasa di seluruh yang berada di situ.
Itulah buat pertama kalinya aku , bertemu dan sekaligus menjadikan aku sebagai anak murid beliau.
Satu point yang aku paling ingat ketika ucaptama ITU, " anda semua ni anak murid Haron Din dah.." sambil senyum. Masa itu jugalah, baru aku tahu tentang wujudnya Ruqyah Syari'iah. Kata Tuan Guru, " ruqyah itu adalah permohonan kepada Allah untuk mendapatkan penyeleasaian. Dan katanya lagi,"anda buat kerana Allah, anda tidak akan rugi. Allah akan cukupkan .
Tepat 10 Rejab 1432H bersamaan 11 Jun 2011 , bertempat di Surau Maahad Ar-Rahmah Kg. Solok Gaung Ayer Molek Melaka,secara rasminya aku menjadi murid kepada Tuan Guru Dato Dr Haron Din.
Waktu itu, aku dah menjadi penduduk tetap Putrajaya. Ramai yang pelik, kenapa aku tidak daftar di bangi. Telah aku katakan, Allah sebaik-baik perancang. Akan Ku ceritakan nanti kenapa begitu, dan adakah cabaran menanti?
Semoga Allah s.w.t tempat Tuan Guru Dato Dr Haron Din bersama para Anbia di syurga nanti.
Semoga Allah s.w.t tempat Tuan Guru Dato Dr Haron Din bersama para Anbia di syurga nanti.
Maybecontinue..
Tags:
Kenangan Dengan Ustaz