Assalamualaikum waramatullah, assalamualaikum warahamtullah. Seusai solat sunat ba'diah selepas isyak. Kelihatan ramai jemaah yang sudah mula pulang ke rumah. Jam di dinding Surau al-Mizan Presint 8 ketika itu tempat menunjuk jam 9.10 minit malam. Sambil mengangkat tangan, merafak kesyukuran pada illahi.
"Ya Alllah, janganlah Kau letakkan takdir aku ini di atas keupayaan dan daya ku sendiri. Nescaya aku akan tersesat dan terkandas. Jadikan takdirku ini berada di atas kekuasaan dan kasih sayang-Mu ya Allah," pinta saya pada Allah s.w.t pada malam itu.
Seusai berdoa, saya bingkas bangun untuk mula langkah pulang ke rumah.
Tiba-tiba," awak Ustaz Zul kan? Orang Darussyifa'?" di sergah tanpa memberi salam oleh satu susuk tubuh yang muncul dalam keadaan cemas.
Dalam hati berkata, "eh, tak perasan pula jemaah ni tadi.
Dari atas hingga ke bawah, gayanya bukan seperti jemaah-jemaah atau kenalan di sekitar qariah tempat ini. Berseluar jeans dan berjersey Mancherster United sahaja. Pasukan kegemaran saya.
"Ya, saya. Ada apa tuan, nampak cemas sahaja ni?" cuba bertanya sambil menurukan suhu cemas pada lelaki itu.
"Anak saya ustaz, anak bujang saya. Kene rasuk hantu siam!" cemasnya memberitahu pada saya.
"Hantu Siam?!" Tersentak saya mendengar kata tuan itu tadi.
"Sabar, sabar. Tuan ni siapa nama, dan apa yang nak saya bantu ni?" Saja saya menanyakan padanya agar orang itu boleh bertenang seketika untuk diajal berbual.
"Maaf Ustaz, saya lupa nak kenalkan diri pada ustaz. Saya Hj. Hassan. Bagini ustaz, ketika saya pulang ke rumah tadi dari pejabat, saya disergah isteri dan anak perempuan untuk minta tolong. Mereka ketakutan melihat anak lelaki bujang saya berkelakuan aneh seperti orang bersilat. Pula itu, asyik membaca doa yang macam jampi siam bunyinya. Pinggangnya dililit dengan kain kuning. Di dahinya juga diikat dengan kain kuning." jelas Hj. Hassan ketika itu.
"Bila saya cuba mendekatinya, dia mula beraksi seperti mahu membuka silat. Ditengkingnya saya ustaz!" Peluh dingin sudah mula menitis ketika Hj. Hassan bercerita.
"Sudah tu, bagaimana Tuan Haji tahu saya di sini dan saya ini orang Darussyifa'?" Tanya saya pada Hj. Hassan tentang itu.
"Saya telefon nombor Hotline Darussyifa', lepas saya kata rumah saya di Presint 8, terus mereka minta saya bertemu dengan Ustaz Zul yang katanya tinggal di Presint 8 juga. Malah dicadang untuk cari Ustaz di Surau , kerana sedang waktu isyak," balas Hj. Hassan tentang pengetahuannya tentang keberadaan saya.
"Ustaz, tolonglah saya. Keluarga saya semua ketakutan. Kawan-kawan kolej anak saya pun ada di rumah. Ada juga yang menyorok ke dalam kereta kerana takut diserang oleh anak saya sedang dirasuk hantu siam itu," pinta Hj. Hassan pada saya untuk bantu menyelesaikan masalah anaknya yang dirasuk itu.
Termenung sejenak saya dengan perasaan berat hati ketika itu, pertamanya saya baru sahaja sembuh dari demam. Keduanya, saya ada urusan bersama keluarga yang sedang menanti di rumah.
Jika ke sana, pesakit yang akan dihadapi adalah seorang pemuda yang sudah pasti kuat orangnya. Saya juga keseorangan untuk berhadapan dengan pesakit itu!
Insyaallah, yakin Allah s.w.t bantu!
"Baik Tn. Haji. Mari kita ke sana. Saya cuba ikhtiarkan. Tapi saya tak janji sembuh. Apa-apa pun atas kehendak Allah s.w.t". Setuju bersyarat kepada Hj. Hassan.
مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِى الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ
“Barangsiapa yang membantu seorang Muslim (dalam) suatu kesusahan di dunia maka Allah akan membantunya dalam kesusahan pada hari kiamat, dan barangsiapa yang meringankan (beban) seorang Muslim yang sedang kesulitan maka Allah akan meringankan (bebannya) di dunia dan akhirat.”
(Riwayat Muslim (2699))
Imam al-Nawawi berkata: “Dalam Hadis ini terdapat keutamaan membantu dan memberi manfaat kepada sesama Muslim sesuai kemampuan, sama ada dengan ilmu, harta, pertolongan, pertimbangan mengenai suatu kebaikan, nasihat dan lain-lain.” [Syarh Sahih Muslim, 17/21].