Siri 1 Faqir Fiqri - Terjebak dengan Ilmu Kebatinan

Pak Man dan Kami

 Silat Pukulan Sendeng Melaka

Waktu kecil, ya ketika itu aku berumur dalam lingkungan darjah 2. Berjinak dengan silat. Zaman itu, silat merupakan satu aktiviti yang menjadi kebiasaan golongan remaja dan belia. 

Mula menyertai silat apabila abangku Mohd Zulhilmi bin Abdul Jalil yang ku panggil 'Angah' aktif dengan silat. Melihat beliau sering berlatih dari satu guru ke satu guru, akhirnya membuatkan diriku tertarik juga untuk mempelajari ilmu persilatan. Bermula dengan bermain-main tekpi di bilik , hasil terpengaruh melihat abangku sibuk berlatih memusingkan tekpinya. Masih ingat lagi tekpi itu, ada dua jenis. Satu tekpi Cina, dan satu lagi tekpi Melayu. 

Keduanya ada beza dari segi sudut buatannya.

Makin aktif dengan silat, apabila abangku membawa aku menyertai gelanggang silat di Bukit Pala berhadapan dengan Masjid Al-Azim Melaka. Kami bersama menuntut dengan seorang guru, Hj. Abdul Rahman atau lebih mesra dengan panggilan 'Pak Man'. 

Pak Man mengajar ilmu Kuntau Sendeng. 

Waktu tu, tiada baju silat. Cuma pakai seluar panjang dan tidak berbaju. Seolah cerita 6 Jahanam lakonan P. Ramlee. 

Setelah tamat belajar bersama Pak Man, Angah terus bersama Pak Man, mengembangkan Kuntau Sendeng di pelusuk negeri Melaka. Seingat aku, Kuntau Sendeng ada gelanggang di Kampung Ku Sayang, Bukit Piatu, Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, dan Taman Bunga Raya , Bukit Beruang. Angah juga tidak ketinggalan membuka gelanggang Kuntau Sendeng yang dikelolai oleh beliau sendiri. Gelanggang itu, disertai oleh rakan-rakan sepermainanku sendiri di sekitar Taman Kerjasama. Malah tempat latihannya juga di rumah ibu ku.

Semakin berkembang Kuntau Sendeng apabila Angah sendiri menyertai pertandingan Silat Olahraga dari peringkat negeri, hingga ke peringkat kebangsaan. Ketika itulah nama Kuntau Sendeng diubah kepada Persatuan Seni Silat Pukulan Sendeng Melaka. Ubahnya nama ini kerana arahan dari Persatuan Silat Kebangsaan (PESAKA) sendiri agar ia bersifat kemelayuan.

Kuntau ini adalah bahasa cina, maksud melayunya adalah Pukulan.

Aku tidak mempelajari apa-apa ilmu kebatinan di dalam pengajian silat ini kerana Pak Man guru utama kami lebih mengajar kepada erti kekuatan tubuh dengan silat.

Hingga suatu hari, aku membuka kitab Al-Quran kecil kepunyaan angah.

Banyak lampiran ayat-ayat doa. Antara yang masih terbayang di ingatan adalah Bismillah 6 dan bismillah 5.

Bismillah 5

Aku menanyakan perkara ini kepada Angah, jawabnya ini untuk kebatinan. Pak Man yang beri. Pemberian itu adalah kerana angah selalu menyertai pertandingan Silat Olahraga.

Budi Suci Sejati.

Marwan. Watak utama yang memperkenalkan ilmu budi Suci. 

Puncanya ketika aku kecederaan waktu bermain boladi Kolej Poly-tech MARA Kuala Lumpur.

Lutut terseliuh! Retak? 

Dibawa Marwan bertemu dengan rakan yang katanya boleh scan keadaan tulang lutut. Ya, patah tebu katanya tulang ini.

Kemudian dikatakan ilmu yang digunakan untuk mengimbas keadaanku, adalah ilmu budi suci dari Persatuan Budi Sejati. Diperkenalkan pula pada gurunya di Kajang, dan aku dipelawa Marwan dan rakan segurunya untuk sertai dan pelajari ilmu tersebut.

Seingatku, ilmu budi suci mempunyai 30 jurus yang menggabungkan nafas serta gerakan jurus fizikal. 

Sebelum mempelajari jurus-jurus, diwajibkan untuk mandi bunga yang terdiri dari tujuh jenis yang telah dijampi oleh guru dengan doa-doa. 

Tidak dipelajari ilmu budi suci sehingga khatam kerana dikritik oleh Angah berkenaan ilmu tersebut. Pandangannya mengatakan seolah-olah ilmu itu memakai jin sebagai khadam. Mula mencurigai apabila mengingati akan kaedah mandi bunga ketika awal waktu menyertai ilmu itu. Namun, sempat juga pelajari sebanyak sepuluh jurus ilmu budi suci. Menguatkan lagi niat untuk berhenti apabila pengharamannya oleh pihak berkuasa Jabatan Agama di dada akhbar ketika itu.

Pengubatan Melayu Mejar Sham Abang Long Tunggal Melaka

Kenangan beraya di rumah Mejar Sham Abang Long Tunggal Pekida

Mejar Sham Kurus a.k.a Abang Long Tunggal Pekida Negeri Melaka.Satu nama yang tidak asing lagi bagi kumpulan Pekida di Negeri Melaka. 

Perkenalan dengan beliau, apabila aku sendiri telah melibatkan diri dengan NGO itu. Mejar Sham merupakan Abang Long Tunggal Pekida Negeri Melaka secara tidak langsung ketua Pekida bagi kawasan Ayer Keroh. Bukan calang-calang orangnya. Beliau sendiri menyertai Pekida hasil air tangan Pak Man guru silat aku. Mejar Sham ini dikenali ramai kerana kebolehan beliau mengubati orang sakit. Aku sendiri acap kali diajak untuk menemani beliau pergi merawat orang sakit rohani seperti sihir dan saka.

Teringat kenangan beliau memberi sebliah keris untuk ditatapi dan dibawa pergi berubat.

Kaedah rawatan yang diamalkan adalah mirip sekali dengan bomoh atau tukang tilik yang kita lihat di dalam filem. Keris dan telur antara alat yang sering digunakan oleh beliau. Menikam telur dengan keris yang diletakkan pada bahagian sakit si pesakit merupakan gaya pengubatan beliau. Selalu juga kami pulang lewat dek kerana lamanya beliau merawat sesetengah pesakit. Kadang-kadang berpapan-papan telur digunakan untuk sesi rawatan. Pastinya telur itu disediakan sendiri oleh keluarga pesakit.

Bertemu Rasulullah s.a.w!

Ya, Mejar Sham pernah membawa aku dan rakan-rakan bertemu dengan Baginda s.a.w . Kesahihan kehadiran Baginda s.a.w itu hanya beliau dan Allah swt sahaja yang tahu. 

Suatu malam , kami ke Bukit Piatu. Sebuah rumah yang sering kami kunjungi bagi membuat sesi rawatan. Malam itu seoalah ada satu upacara. 

Upacara baiah!

Aku tidak ingat berapa ramai antara kami. Rasanya lebih aku dan rakan lebih kurang empat orang, manakala Mejar Sham bertiga termasuk tuan rumah. 

Dimulai upacara malam itu dengan bacaan yassin serta tahlil. Kemudian tuan rumah itu diselubungkan dengan satu kain. Seakan ada roh masuk ke dalam badan dan mebguasai tuan punya badan. Sedang kami melihat Mejar Sham berinteraksi dengan roh itu, tiba beliau mengatakan Rasulullah s.a.w bersama tiga sahabat besar baginda s.a.w datang berkunjung kepada kami semua ketika itu. 

Ya! Beliau mengatakan di hadapan kami adanya roh mulia Rasulullah s.a.w!

Apa yang berlaku ketika itu?Kami semua yang berada di rumah itu telah dibaiahkan menjadi tentera Rasulullah. s.a.w!

Fikirku, apakah benar perkara yang berlaku? 

Malah jika dilihat Mejar Sham berdialog bersama roh yang berada di dalam tuan rumah itu seolah bersembang seperti rakan-rakan sahaja sambil mengiyakan kehadiran roh Rasulullah s.a.w. Beliau juga mengajukan beberapa soalan kepada roh mulia baginda s.a.w. Berkenaan hari kiamat, kewangan beliau dan ada juga soalan yang aku sendiri telah lupa.

Tidak pasti samada Doa Nabi Sulaiman inikah yang kami diminta hafaz.

Sejak malam bai'ah tersebut, aku dan Mejar Sham seperti sahabat, ayah dan anak. Beliau pernah memberi aku dan rakan-rakan baiah Doa Nabi Sulaiman. Kami diminta hafaz doa tersebut dan diuji penghafazannya didepan beliau. 

Kami masing-masing berjaya ditasmi' oleh Mejar Sham, namun di waktu yang berasingan. Serta dijazahkan. Pada waktu itu, seolah tidak mengerti apakah maksud 'diijazahkan'. Maklumlah umur baru menginjak 20-an. Sedang melanjutkan pengajian di IPT pula. Fikirku, "takkan semudah itu dapat memiliki ijazah?"

Pergaulan aku bersama Mejar Sham sedikit sebanyak telah memberi pengalaman hidup tentang ilmu pengubatan. Walaupun ia dilihat seolah tidak selari dengan pengubatan Islam, namun kepercayaan tentang perkara ghaib semakin kuat. 

Aku tidak mempelajari ilmu pengubatan dan rawatan alternatif itu dari Mejar Sham. Kerana merasakan seperti tidak seperti apa yang pernah arwah Abah ku ajarkan. 

Alhamdulillah arwah abah dahulu selalu bercerita tentang akidah dan kebergantungan hanya pada Allah s.w.t. Abah selalu mengatakan keluarga kami keturunan Wali Songo. Orang alim-alim yang suka baca Al-Quran. Malah arwah abah juga seoarang pesara dari guru agama. Sudah pastinya pengetahuan beliau tentang agama juga mendalam.

Abah tidak mewariskan ilmu-ilmu kebatinan kepadaku walaupun aku tahu yang arwah abah memang seorang yang rajin beramal. Cuma selalu mendengarkan, abah selalu membaca ayat surah at-taubah ayat 128-129 di pagi hari.

Antara ayat yang sering dibaca oleh arwah abah

Arwah abah merupakan guru Quran ku yang pertama. 

Kenangan membaca al-Quran bersamanya selepas solat maghrib sentiasa bermain diingatan. Antara hobinya adalah membaca terjemahan Al-Quran. 

Sehinggalah waktu abah hampir mengadap illahi, beliau meminta ku untuk melihat terjemahan Al-Quran walau keadaannya sudah uzur sangat. 

Abah dipanggil mengadap illahi tepat pada malam nuzul Al-Quran di bulan ramadhan. Mungkin itu bahagiannya diberi Allah swt sempena beliau sering mengaji terjemahan al-Quran.

Kenangan mengimami jenazah Arwah Abah


Semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat ke atas rohnya, Allahyarham Hj. Abdul Jalil bin Arshad. 

Al-Fatiha.

Tamah chapter 1 Bahagian 3!

Mr feckry

yang terpuji fikiran ku

Catat Ulasan

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Terbaru Lebih lama

Popular Items

Dendang anak

Komik Hong Kong