Tekpi merupakan antara senjata Melayu yang agak bitara kerana dikendalikan sepasang dengan menggunakan kedua-dua belah tangan kanan dan kiri secara serentak namun dalam keadaan yang berbeza dalam sesuatu masa. Ia digunakan bagi tujuan pertahanan diri dan diikuti dengan serangan balas silih berganti sama seperti senjata Melayu yang lain sesuai dengan gagasan seni pertahanan diri dalam persilatan Melayu yang berperanan untuk pertahanan diri, keluarga dan masyarakat demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara.
Tekpi adalah sejenis senjata yang tumpul, tidak boleh digunakan untuk menghiris, memotong, memangkas dan menyucuk atau menikam. Kaedah penggunaanya hampir menyamai gabungan penggunaan pedang Melayu atau sundang, pisau dan parang lading dalam persilatan Melayu.
Tekpi adalah sejenis senjata orang Melayu yang diperbuat daripada logam keras. Ia mempunyai lima unsur buatan yang hampir menyerupai pedang Melayu atau sundang dan keris iaitu bilah, sampir, hulu dan kepala hulu. Bilahnya dipanggil tekpi di mana panjangnya antara 49cm (15 in) hingga 65cm (20 in) bergantung pada kesesuaian panjang ukuran dari genggaman tangan ke siku pemakainya. Keratan rentas bilah tekpi sama ada berbentuk segi enam atau bulat berukuran garispusat sekitar antara 1cm hingga 2cm. Panjang hulu tekpi sekitar 10cm yang diperbuat daripada logam sambungan kepada bilah tekpi. Bagi tujuan keselesaan, lazimnya hulu tekpi dibalut dengan bahan lain seperti kayu, gading, kulit haiwan, getah, kain, benang atau tali dan sebagainya.
Hujung atau kepala hulu tekpi berbentuk buntilan yang dipanggil mata lalat dan ada juga yang memanggilnya bunga lawang. Buntilan kepala hulu juga kadangkala diperbuat daripada sekeru logam bagi tujuan sebagai pengunci kepada balutan hulu khususnya jika diperbuat daripada kayu atau gading. Sampir berkedudukan antara hulu dan bilah tekpi. Ia berbentuk cabang huruf ‘U’ seakan seperti tanduk lembu atau kerbau yang diperbuat daripada logam di mana dasar cabang tersebut berada di antara pangkal hulu dan pangkal bilah tekpi sementara kedua-dua cabang sampir berkeadaan selari dengan bilah tekpi. Ukuran cabang sampir adalah sekitar antara 8cm hingga 10cm iaitu bersesuaian dengan kelebaran tapak tangan pemakai bagi memudahkan pengendalian.
Di hujung kedua-dua cabang sampir berbentuk lentikan seperti kiasan kepala ular atau naga sebagaimana lazimnya terdapat pada sundang atau pedang Melayu dan senjata Melayu yang lain. Gambaran ular dan naga sering diterapkan pada persenjataan Melayu seperti sundang, keris, parang, lela atau meriam, terakul dan sebagainya sebagai kiasan kepada perwatakan orang Melayu yang pemalu dan tidak suka bermusuhan tetapi amat merbahaya jika diganggu. Oleh itu reka bentuk tekpi adalah seiring dengan peranannya untuk disesuaikan dengan ergonomic dan anatomy orang Melayu serta adat dan peradaban bangsa Melayu.
Mengenai persejarahan tekpi, Wikipedia mengatakan tekpi berasal dari India dan China. Ini mungkin kerana melihatkan kepada bentuk tekpi yang hampir menyerupai trisula iaitu lambang kesucian bagi kepercayaan Hindu dan Buddha. Namun begitu, trisula adalah berbentuk seperti cokmar dan jika ia dijadikan senjata, rupanya lebih kepada seperti lembing yang mempunyai tiga bilah.
Oleh sebab peranan trisula dan tekpi tersangat berbeza dan tiada perkaitan antara keduanya dari sudut persejarahan, maka dicadangkan bahawa reka bentuk dan peranan tekpi tidak berasal dari India mahupun China tetapi dicipta dan dikembangkan oleh orang Melayu dan usulnya dari Alam Melayu.
Pandangan dari Tuan Mastor@Kiyai Luhur.
Tags:
Senjata Melayu